Blog

Bila Perlu SABAR ?

Assalamualaikum dan salam seribu rahmat buat para pembaca semua. Pastinya semua sudah merancang apa dan kemana untuk cuti sekolah yang akan datang ini, kan? Sudah tentu betapa rapi pun perancangan dan kelengkapan yang kita siapkan pasti akan ada yang tertinggal, terlupa, anak meragam, kereta pancit dan pelbagai lagi perkara yang tak terjangka boleh berlaku dalam percutian serba indah dan perancangan serba sempurna kita. Paling kritikal, dalam waktu genting sebegitu, bagaimanakah dengan kesabaran kita?

                Artikel kali ini bukan untuk mengajar pembaca semua bagaimana mahu bersabar kerana saya juga manusia biasa yang sentiasa ada ujiannya, ujian yang berkali-kali bagaikan ingin mengusik mampukah saya bersabar?Tapi kali ini saya ingin kongsi 3 tips apa yang boleh kita buat apabila kesabaran kita sudah berada di tahap maksimum. Dalam konteks ini saya lebih suka menyentuh bab sabar dengan pasangan dan anak-anak.

Istighfar dan Berwuduk

wuduk-2

Paling perlu kita fahami adalah sabar itu bukan pada ketika tenang, anak-anak tak meragam dan kita pula dapat bonus yang banyak dari syarikat. Tetapi yang dikatakan sabar adalah apabila kita tersepit diuji dengan masalah sendiri ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang bergaduh berebut mainan, markah ujian anak yang rendah, pasangan yang tiba-tiba marahkan kita tanpa kita tahu apa sebabnya. Ketika itu, bagaimanakah kita mahu mendahulukan rasional sebelum emosional? Mampukah kita fikir sejenak sebelum lisan terlajak bicara?

                Sudah pasti kita mampu dengan tips yang mudah diajarkan Nabi Muhammad S.A.W yang ringkas dan mudah. Ini juga seharusnya jadi cara untuk kita didik sifat sabar dalam diri kita. Mulakan dengan istighfar. Marah itu api, dan syaitan itu juga daripada api dan  gemar orang yang marah tanpa ada hadnya. Minta keampunan dari Allah, biasanya kita marah adalah disebabkan salah orang lain, sebelum kita salahkan orang lain dengan marah kita, istighfar dan muhasabah diri segera. Mungkin ada dosa ataupun amalan yang kita selalu buat tetapi tertinggal dan Allah nak tegur kita.

                Sekiranya masih ada rasa nak marah, cepat-cepat berwuduk kerana wuduk juga merupakan penawar bagi marah. Berwuduk itu umpama menyiram kolam hati yang dilanda api kemarahan. Sekurang-kurangnya jika perkara tersebut perlukan kita untuk tegur, kita dapat tegur dalam suasana yang baik tapi tegas kerana rasional kita waktu itu sudah tinggi. Ingat, masalah yang berlaku itu perlukan solusi, bukan ketidakstabilan emosi.

Diam, Duduk dan Renung

27971636_1606536279402296_4647534856192946454_n

Tips yang kedua ini antara yang sering saya amalkan kerana saya jenis yang mudah melenting, jadi saya latih diri saya bila ada masalah kecil ataupun besar antara saya dan pasangan dan saya memang sudah sampai tahap untuk naikkan suara, saya akan diamkan diri untuk seketika, dan alihkan fokus saya pada perkara lain. Sekiranya ketika itu saya sedang berdiri, saya akan cepat-cepat duduk, dan ini juga yang disarankan Rasulullah S.A.W jika kita marah.

Selalunya bila kita marah dan diamkan diri, syaitan masih akan mainkan peranannya lagi dengan bisikkan pelbagai perkara supaya apa yang keluar dari mulut kita ketika itu adalah untuk saling menyakiti hati satu sama lain, saya percaya ramai pembaca pernah mengalami situasi seperti ini. Saya juga mengalami keadaan yang sama, dan ketika saya diamkan diri, saya akan terus renung kepada punca kenapa saya nak marah sebentar tadi dan adakah dengan saya marah kepada pasangan saya, apa yang kami tidak sependapat tadi akan selesai? Paling menakutkan ialah apa kesan terhadap hubungan tidak kira kita dengan pasangan, dengan keluarga atau dengan kawan-kawan? Banyak perkara boleh kita jaga sekiranya marah itu dapat kita kawal dan yang berfungsi adalah akal.

Senyum dan Minta Maaf

27867093_1606534492735808_3601590736045846028_n

Yang ketiga ini menyebutnya sangat mudah tetapi untuk melaksanakannya hampir mustahil. Tetapi senyum mempunyai kuasa yang sangat luar biasa. Ini kerana menurut kajian sains, senyum akan merembeskan hormon serotonin yang dapat membuatkan tubuh badan kita lebih rileks dan selesa dan stress juga dapat dikurangkan apabila kita senyum. Bayangkan dalam keadaan marah, kita mampu diam tanpa membalas dengan ayat yang lebih memarakkan kemarahan ditambah pula dengan senyuman ikhlas semanis madu! InsyaAllah, bukan kita sahaja tidak jadi marah tetapi juga pasangan kita pun terbantut proses marah mereka.

                Apa kata kita harmonikan terus keadaan tegang ini. Bagaimana? Lembutkan hati dan rendahkan ego, jangan fikir panjang dan terus minta maaf pada pasangan kita. Tidak kira siapa yang mula dan siapa yang salah, kita minta maaf dahulu, selepas keduanya tenang dan harmoni, bolehlah kita berbincang dan selesaikan isu tadi dengan lebih rasional dan solusi yang kita hasilkan insyaAllah lebih membahagiakan.

                Ini adalah serba sedikit perkongsian daripada saya melalui pengalaman dan pembacaan saya. Harapan saya semoga hubungan kita bersama lebih erat dan bahagia. Masalah tetap akan singgah dalam mana-mana hubungan dan organisasi, tetapi yang penting sebagai manusia yang Allah kata ‘sebaik-baik ciptaan’ seharusnya kita juga mencari sebaik-baik penyelesaian. Wallahua’lam

LUQMAN NURHAKIM BIN MOSNI
Eksekutif Operasi AKADEMI MEMBANGUN POTENSI ANAK CEMERLANG (AMPAC)

Advertisements
Blog

Perut Adalah Tempat Bermula Pelbagai Penyakit ! Jom Sihat !

Assalamualaikum dan Salam Perjuangan. Artikel kali ini saya akan menyentuh satu tajuk yang sangat Penting dalam kehidupan seorang manusia. Tajuknya adalah “Kesihatan”.

Bila anda baca atau dengar tajuk ini, apa yang terlintas di fikiran anda? Mesti menjaga kesihatan dengan bersenam kan… Tetapi sebenarnya Kesihatan perlu dijaga dengan kita menjaga perut sebenarnya. Nabi Muhammad SAW juga ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’.

Satu soalan saya tujukan… Berapa ramai yang bersyukur dengan adanya nikmat sihat dalam kehidupan kita ? Sebenarnya ramai lupa betapa hebatnya nikmat sihat. Kita lupa ada yang nak berjalan tetapi tidak boleh berjalan kerana kaki sudah tiada. Kita lupa ada yang nak duduk tetapi tidak boleh kerana lumpuh. Pelbagai jenis sakit di dunia ini.

Kita hanya akan bersyukur apabila kita sudah terkena sesuatu penyakit betul ? Bila dah kena barulah kita nak bersyukur dengan nikmat kesihatan yang diberikan kepada kita sebelum ini.

Jangan bimbang, kerana saya juga begitu. Alpa. Tidak pernah mempedulikan kesihatan secara serius. Saya ingat dulu janji kita bersukan atau bersenam maka Sihatlah kita. Rupa-rupanya tidak. Akhir tahun 2017 ini saya sendiri dikejutkan dengan berita yang kurang menarik serta cabaran yang begitu kuat buat saya sekeluarga.

Saya disahkan mempunyai Kanser di bahagian tangan kanan saya. Dibahagian tulang juga telah dijangkiti kuman yang menyebabkan tulang di tangan kanan saya semakin membengkok. Pada mulanya, saya sendiri tidak boleh percaya yang saya ada Kanser. Waktu itu, yang saya terbayang adalah MATI.

Tetapi melihat wajah orang yang tersayang iaitu isteri, anak & keluarga saya menjadikan saya kuat serta tabah untuk kembali sihat. Hari ini saya ceria dan sentiasa positif kerana saya yakin untuk sihat pertama sekali di minda kita Wajib Kuat dan barulah diikuti dengan cara hidup iaitu Pemakanan serta Senaman.

Alhamdulillah, saya boleh dikatakan hampir pulih dengan izin Allah SWT setelah 3 bulan menjaga pemakanan dan juga rawatan yang saya buat. Jadi saya kongsikan pemakanan yang saya makan untuk melawan kanser dan terus sihat ini.

Pertama sekali, untuk sihat GULA adalah Haram. Betul gula adalah sangat merbahaya. Doktor saya sendiri cakap makanan untuk kanser adalah Gula. Jadi jangan bagi kanser peluang untuk makan. Buang gula sahaja kita punya berat badan boleh turun dengan sangat cepat. Saya memang boikot terus gula. Walaupun orang cakap gula kabung atau madu elok kerana saya bimbang terbeli yang tiruan. Saya gunakan stevia original sebagai bahan pengganti kepada gula. Gula Perang sama sahaja dengan gula putih. Bak pepatah orang putih “Sugar is still Sugar whether is brown or white”.

Kedua, saya lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Tak disangka-sangka saya yang sebeum ini langsung tidak makan sayur berjaya mendisiplinkan diri untuk makan Sayur dan Buah-Buahan sahaja. Rupanya boleh je hidup.. Makan mengikut diet yang seimbang sangat penting. Jangan asyik makan ayam je.

Saya kongsikan DUA perkara penting ini harapnya memberi manfaat serta inspirasi untuk anda semua terus Sihat kerana amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan daripada kecil lagi.

Sekian,

Ahmad Azri Bin Ahamad Shabir (Ampacoach Ayie)
Pejuang Kanser

Blog

AJAR ANAK RASA KECEWA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera ibu dan ayah hebat. Hari ini saya ingin kongsikan tentang satu isu iaitu “kecewa”. Untuk orang dewasa, kecewa itu mungkin sesuatu yang sudah sinonim dan kadangkala sudah menjadi norma kehidupan kita. Ya bukan? Tetapi jika anak-anak yang kecewa, agaknya samakah persepsi mereka dengan kita yang sudah jauh usianya dengan anak yang masih baru nak kenal dunia?

KECEWA DARI KACA MATA ANAK

Rasa kecewa ialah satu pengamalan yang menyakitkan kepada anak-anak selepas mereka rasa gagal melakukan sesuatu. Akan ada rasa sesuatu yang hilang, hampa dan rasa putus asa bila mereka gagal untuk capai impian dan harapan mereka atau mereka percaya yang mereka gagal untuk penuhi harapan orang lain terutamanya ibu bapa.

Rasa kecewa itu ialah reaksi semula jadi kepada kegagalan. Tetapi sesetengah anak-anak bertindak balas terhadap kekecewaan dengan cara yang akan menambahkan lagi kegagalan mereka seperti kurang berusaha, mudah menyerah ataupun terus menyerah kalah dan berhenti untuk melakukan sesuatu. Reaksi ini akan menyebabkan mereka rasa tak berguna dan rendah diri yang mana bila berlarutan akan menghalang mereka daripada mencapai matlamat untuk masa hadapan mereka. Kecewa selepas gagal ialah benda biasa. Tapi jangan jadikan ianya sesuatu yang membuatkan anak-anak semakin lemah dan akhirnya rebah.

SISI POSITIF KECEWA

Walau pedih dan sakit macam mana sekalipun, rasa kecewa itu ada baiknya pada diri anak-anak. Ibu bapa akan lihat kekecewaan sebagai sesuatu yang menyakitkan untuk anak mereka. Tetapi, ibu bapa boleh ubah persepsi itu dengan menganggap ia sebagai satu peluang kepada anak untuk mereka hadapi dengan diri sendiri dan menjadi kuat.

  • Kecewa itu tanda minat dan semangat pada sesuatu. Ibu bapa boleh pantau anak-anak dan lihat apa minat mereka. Sebagai contoh, anak gagal dalam pertandingan catur dan kecewa yang teramat, maka tahulah ibu bapa yang anak sangat minat dengan catur. Dari situ ibu bapa boleh galakkan lagi anak berusaha untuk pertandingan seterusnya.
  • Peluang untuk perkembangan kendiri yang lebih baik. Supaya anak-anak berjiwa besar, apabila jatuh boleh bangkit semula dan terus berusaha.
  • Supaya anak tahu erti susah payah dan usaha untuk capai apa yang disukai. Bukan semua benda senang dapat dengan minta pada ibu bapa.
  • Kekecewaan menguatkan diri anak. Supaya anak tidak membesar cengeng dan tidak temper tantrum bila tak dapat sesuatu yang diingini.

CARA TANGANI KEKECEWAAN ANAK

Ibu bapa kadang-kadang buntu macam mana nak pujuk anak yang kecewa. Jika tersalah cakap lagi teruk merajuknya nanti.

Jadi ibu bapa boleh bertanya pada anak-anak apa yang boleh mereka lakukan untuk selesaikan isu yang berlaku. Beri mereka kuasa atas diri mereka sendiri bagaimana jalan penyelesaian yang difikirkan. Apa-apa sahaja yang terjadi selepas itu menjadikan anak-anak lebih bertanggungjawab terhadap pilihan diri sendiri.

 Jangan memperkecilkan dan tidak mengendahkan perasaan kecewa anak-anak. Ia akan menjadikan anak-anak rasa ibu bapa tidak mengambil berat akan diri mereka. Ibu bapa perlu berempati dengan anak supaya mereka boleh rasa yang ianya normal untuk rasa sedih bila gagal capai sesuatu dan ia bukanlah sesuatu yang boleh merosakkan mereka.

Sokong mereka tetapi bukan dengan memberi ganjaran material dengan niat menenangkan. Anak-anak yang dah terbiasa dengan dapat hadiah jika sedih akan menganggap kegagalan dan kesedihan ialah tiket untuk mereka minta apa-apa sahaja daripada ibu bapa selepas itu. Buka mata anak-anak dengan melihat kegagalan sebagai satu peluang untuk berkembang dan menjadi lebih baik.

Tiada perlindungan dari kekecewaan. Kita perlu kuat untuk tanganinya dengan diri sendiri.

 

Dikongsi oleh,

AMPACoach Sakinah.