Blog

AJAR ANAK RASA KECEWA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera ibu dan ayah hebat. Hari ini saya ingin kongsikan tentang satu isu iaitu “kecewa”. Untuk orang dewasa, kecewa itu mungkin sesuatu yang sudah sinonim dan kadangkala sudah menjadi norma kehidupan kita. Ya bukan? Tetapi jika anak-anak yang kecewa, agaknya samakah persepsi mereka dengan kita yang sudah jauh usianya dengan anak yang masih baru nak kenal dunia?

KECEWA DARI KACA MATA ANAK

Rasa kecewa ialah satu pengamalan yang menyakitkan kepada anak-anak selepas mereka rasa gagal melakukan sesuatu. Akan ada rasa sesuatu yang hilang, hampa dan rasa putus asa bila mereka gagal untuk capai impian dan harapan mereka atau mereka percaya yang mereka gagal untuk penuhi harapan orang lain terutamanya ibu bapa.

Rasa kecewa itu ialah reaksi semula jadi kepada kegagalan. Tetapi sesetengah anak-anak bertindak balas terhadap kekecewaan dengan cara yang akan menambahkan lagi kegagalan mereka seperti kurang berusaha, mudah menyerah ataupun terus menyerah kalah dan berhenti untuk melakukan sesuatu. Reaksi ini akan menyebabkan mereka rasa tak berguna dan rendah diri yang mana bila berlarutan akan menghalang mereka daripada mencapai matlamat untuk masa hadapan mereka. Kecewa selepas gagal ialah benda biasa. Tapi jangan jadikan ianya sesuatu yang membuatkan anak-anak semakin lemah dan akhirnya rebah.

SISI POSITIF KECEWA

Walau pedih dan sakit macam mana sekalipun, rasa kecewa itu ada baiknya pada diri anak-anak. Ibu bapa akan lihat kekecewaan sebagai sesuatu yang menyakitkan untuk anak mereka. Tetapi, ibu bapa boleh ubah persepsi itu dengan menganggap ia sebagai satu peluang kepada anak untuk mereka hadapi dengan diri sendiri dan menjadi kuat.

  • Kecewa itu tanda minat dan semangat pada sesuatu. Ibu bapa boleh pantau anak-anak dan lihat apa minat mereka. Sebagai contoh, anak gagal dalam pertandingan catur dan kecewa yang teramat, maka tahulah ibu bapa yang anak sangat minat dengan catur. Dari situ ibu bapa boleh galakkan lagi anak berusaha untuk pertandingan seterusnya.
  • Peluang untuk perkembangan kendiri yang lebih baik. Supaya anak-anak berjiwa besar, apabila jatuh boleh bangkit semula dan terus berusaha.
  • Supaya anak tahu erti susah payah dan usaha untuk capai apa yang disukai. Bukan semua benda senang dapat dengan minta pada ibu bapa.
  • Kekecewaan menguatkan diri anak. Supaya anak tidak membesar cengeng dan tidak temper tantrum bila tak dapat sesuatu yang diingini.

CARA TANGANI KEKECEWAAN ANAK

Ibu bapa kadang-kadang buntu macam mana nak pujuk anak yang kecewa. Jika tersalah cakap lagi teruk merajuknya nanti.

Jadi ibu bapa boleh bertanya pada anak-anak apa yang boleh mereka lakukan untuk selesaikan isu yang berlaku. Beri mereka kuasa atas diri mereka sendiri bagaimana jalan penyelesaian yang difikirkan. Apa-apa sahaja yang terjadi selepas itu menjadikan anak-anak lebih bertanggungjawab terhadap pilihan diri sendiri.

 Jangan memperkecilkan dan tidak mengendahkan perasaan kecewa anak-anak. Ia akan menjadikan anak-anak rasa ibu bapa tidak mengambil berat akan diri mereka. Ibu bapa perlu berempati dengan anak supaya mereka boleh rasa yang ianya normal untuk rasa sedih bila gagal capai sesuatu dan ia bukanlah sesuatu yang boleh merosakkan mereka.

Sokong mereka tetapi bukan dengan memberi ganjaran material dengan niat menenangkan. Anak-anak yang dah terbiasa dengan dapat hadiah jika sedih akan menganggap kegagalan dan kesedihan ialah tiket untuk mereka minta apa-apa sahaja daripada ibu bapa selepas itu. Buka mata anak-anak dengan melihat kegagalan sebagai satu peluang untuk berkembang dan menjadi lebih baik.

Tiada perlindungan dari kekecewaan. Kita perlu kuat untuk tanganinya dengan diri sendiri.

 

Dikongsi oleh,

AMPACoach Sakinah.

Advertisements