Blog

Doa Senjata Kita!

Ada yang sudah berbelas tahun. Ada yang berpuluh tahun. Dan tidak kurang juga yang sudah berdekad usia dimamah namun masih belum mengetahui rahsia di depan mata. Rahsia bagaimana hidup ini bisa dibantu dan dipandu Sang Pencipta Alam. Rahsia tentang doa dan harapan yang jelas Allah nampakkan dalam surah yang paling popular dalam hidup kita yakni Al-Fatihah.

15578032_1343807838974532_8558529173039599944_o

TELITI DAN HAYATI

Andai kita meneliti dan menghayati setiap perkataan yang Allah ungkapkan dalam surah ini, maka kita bakal bangun dari mimpi dan mengerti betapa indahnya realiti. Dalam ayat kelima surah al-Fatihah, bukankan Allah telah berfirman, “KepadaMu kami  mengabdikan diri dan kepadaMu kami memohon pertolongan.”

Dan jika anda melihat dengan mata yang terang dan hati yang benderang, bukankah ini kaedah untuk kita semua memohon bantuan daripada Allah? Iaitu, kita mengabdikan diri atau beribadat kepada Allah terlebih dahulu kemudian barulah kita meminta pertolongan. Ya, anda sedar atau tidak, setiap hari anda mengungkapkan prinsip ini. Prinsip untuk memohon bantuan daripada Allah!

DOA YANG SIA-SIA

Namun hari ini, begitu ramai yang tersasar daripada modus operandi atau kaedah yang sebenar dalam memohon doa dan meletakkan harapan kepada Allah. Tanpa sekelumit pun rasa malu, ramai yang meminta ini dan itu meskipun solat tidak menentu.  Tanpa secebis pun rasa bersalah, ramai yang tangan ditadah walau tak ambil kisah soal ibadah!

Yang membingitkan telinga kita sebagai Muslim adalah apabila golongan ini kerap mengeluh seolah-olah Allah tidak mampu memakbulkan doa mereka. Bayangkan, ada juga yang menyalahkan Allah apabila harapannya yang menggunung tidak menjadi kenyataan. Dan bayangkan juga, ada yang luntur iman mereka, terhakis keyakinan mereka kepada Allah dek kerana doa mereka tidak tertunai. Sehinggakan mereka ini akhirnya menurut pujukan syaitan dan keluar dari agama Islam!

Doa adalah senjata orang mukmin. Semua orang tahu tentang ini. Namun pengetahuan ini hanya akan lengkap apabila mereka sedar bahawa bantuan Allah akan hadir untuk mereka yang menurut perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Ya, jika anda inginkan doa dan harapan anda ditunaikan oleh Allah, maka jagalah ibadat anda terlebih dahulu. Solat anda bagaimana? Bacaan Al-Quran sekerap mana? Sedekah dan amal jariah anda seikhlas mana?

SIFAT SENJATA

Sekali lagi saya ungkapkan; doa adalah senjata orang mukmin. Semua orang tahu tentang ini. Tetapi anda perlu ingat, pedang yang tidak dikeluarkan dari sarungnya tidak mampu melibas musuh-musuh Allah. Pistol yang berpeluru tidak akan berfungsi selagi tidak ditarik picunya. Dan meriam yang seberat dan sehebat mana sekalipun tidak mampu membedil jika tidak hidupkan sumbunya.

Doa yang dibaca dan dilafaz akan benar-benar memberikan kesan apabila anda memahami setiap butir perkataannya. Ya, anda mesti faham dan ingat maksud doa yang anda baca! Ramai di kalangan kita yang doanya panjang berjela namun seinci pun tidak mengesan jiwa kerana mereka tidak ambil pusing tentang maknanya.  Sungguh, anda bakal merasakan kelainan dalam berdoa jika anda tahu maknanya.

DOA DALAM BAHASA MELAYU

Betul, anda bisa sahaja berdoa dalam bahasa Melayu. Dan itu tidak salah malah baik untuk diamalkan. Tetapi doa-doa yang diajar oleh Rasulullah jangan sesekali anda lupakan. Doa yang ma’thur dan padat dengan fadhilat itu mesti anda dalami maksudnya dan hayati maknanya. Barulah pipi anda bisa terasa panasnya air mata yang menitis dan hati anda basah dengan harapan yang terbuai dengan kekhusyukan.

Dan jangan lupa, selepas berdoa,  anda mesti berusaha! Ya, berusaha! Lihat bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. menampakkan contoh teladan kepada anda. Baginda berdoa dan tetap bersusah payah menghadapi rintangan dalam peristiwa hijrah. Baginda berdoa dan tetap berperang di medan Badar bagi menegakkan Islam. Baginda berdoa dan tetap terus konsisten mendidik hati dan jiwa para sahabat dalam mendalami Islam. Baginda berdoa dan berusaha! Dan jangan lupa, baginda adalah kekasih Allah, penghulu sekalian nabi, manusia yang terbaik dalam sejarah dunia dan baginda tetap berusaha selepas berdoa.

Maka jangan pula anda sekadar berdoa dan menunggu bulan jatuh ke riba. Ini merupakan konsep tawakkal yang terpesong! Anda berdoa dan kemudian anda berusaha! InsyaAllah Maha Perkasa akan berikan yang terbaik untuk usaha anda!

JANGAN SALAHKAN ALLAH

Jangan salahkan Allah jika apa yang dipinta tidak dimakbulkan. Kerana mungkin apa yang anda pinta adalah sesuatu yang buruk untuk masa depan anda. Cuma anda tidak tahu. Maka Allah yang bersifat Maha Mengetahui, tidak memakbulkan doa hambaNya demi kebaikan anda sendiri.

Jangan salahkan Allah jika apa yang didoa belum kunjung tiba. Kerana masa yang terbaik masih belum sampai. Dan masa yang terbaik, pengetahuannya hanya ada pada Allah. Maka bersabarlah. Ingat firman Allah; “Mohonlah pertolongan dengan bersabar dan bersolat.” Masanya akan tiba. Pasti tiba. Dan saat itu, adalah saat yang terbaik untuk anda menerima apa yang anda pinta!

Ada juga di kalangan kita yang memandang rendah terhadap doa-doa harian. Doa sebelum dan selepas makan, doa mengenakan pakaian, doa masuk dan keluar tandas dan pelbagai lagi. Sedangkan doa ini menampakkan betapa Islam merupakan cara hidup yang sempurna. Yakni tidak terhad kepada soal ibadah namun turut menyentuh setiap aspek kehidupan manusia.

KENAPA BANYAK SANGAT DOA?

Dan kenapa anda dan saya mesti mengamalkan doa-doa harian ini? Jawapannya mudah. Anda dan saya adalah insan. Dan insan acap kali lupa kepada Pencipta. Maka doa-doa harian yang selalu dipandang remeh inilah yang bakal menjadi terminal-terminal buat kita semua. Sebagai terminal atau perhentian yang mengingatkan semula kita kepada Rabbul ‘Alamin.  Tatkala bangun tidur, Allah yang disebut. Tatkala menaiki kenderaan, Allah yang diingat. Tatkala berhadapan dengan rezeki, Allah jualah yang disyukuri. Semua ini hasil daripada kita mengamalkan doa-doa ini. Maka janganlah anda memperkecil-kecilkannya!

Jadi apa tunggu lagi? Jom kita muhasabah diri. Adakah kita ini hamba sejati? Ibadah dilaksana dan perintah dituruti? Kemudian adakah kita faham makna doa yang kita baca? Khusyukkah kita atau sekadar mulut yang berbicara? Kemudian adakah kita berusaha? Atau duduk dan diam sahaja?! Muslim yang hebat sentiasa berusaha! Jom kita hidup mulia dan mati sebagai syuhada!

Dikongsi Dengan Pengharapan Oleh :
ABG BADR
Master Trainer AMPAC

Advertisements